Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman
BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Isnin, 11 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman petang tadi berkenan melawat Museum of the Communist Party of China (CPC).
Juga berangkat ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba di Museum of the CPC, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri dijunjung oleh Director of Museum, Mr. Li Zongyuan.
Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia berkenan membuat lawatan ke beberapa buah galeri yang mempamerkan sejarah, perkembangan dan pencapaian Communist Party of China dalam 100 tahun penubuhannya.
Antaranya, DYTM dan YTM disembahkan tayangan video pengenalan, diikuti dengan taklimat mengenai sejarah penubuhan CPC serta perkembangan awal revolusi China.
DYTM dan YTM juga menyaksikan tayangan wayang berbentuk 'immersive' bertajuk 'The Long March' yang menunjukkan perjalanan bersejarah Red Army of the CPC sebelum melawat galeri penubuhan Republik Rakyat China serta perkembangannya di bawah kepimpinan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan seterusnya menyaksikan tayangan sinema 4D yang menampilkan keindahan landskap China serta pencapaian moden republik tersebut.